KEBANYAKAN lelaki selalu menyalahkan wanita apabila
wanita kerap merajuk dan marah tanpa mengetahui apakah puncanya. Kerap kali
apabila timbulnya masalah sikap wanita yang dikatakan mengada-ngada, itu
menjadi punca pertengkaran.
Namun, lelaki tidak sedar ada perbuatan mereka yang
dibenci oleh kaum wanita. Justeru, apa kata lelaki meneliti beberapa
perbuatan-perbuatan yang sering dilakukan tanpa kesedaran mereka.
Panas baran
Pantang silap sikit, pasti
pelbagai kata-kata kesat dihamburkan. Tidak cukup dengan kata-kata kesat, kadangkala
tangan lelaki panas baran ini juga pantas menampar atau mencekik leher kekasih
bagi menunjukkan mereka ini kuat dan berkuasa.
Perbuatan lelaki sebegini akan
membuatkan wanita benci dan fobia. Bagi sesetengah wanita yang terlalu
menyayangi pasangan, mereka terpaksa berendam air mata dan membiarkan hidup
menderita. Lama kelamaan wanita ini akan hidup dalam keadaan tertekan dan boleh
menyebabkan kemurungan.
Mengongkong
Segala gerak-geri kekasih
dikawal. Hendak keluar berhibur dengan teman-teman pun tidak boleh. Sampaikan
dari segi berpakaian pun perlu mengikut segala yang diinginkan mereka. Tetapi,
mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka disoal siasat
oleh kekasih mereka. Mulalah dituduh psiko dan queen control.
Ego
Ini adalah perbuatan yang
paling ketara bagi kaum lelaki. Apabila berlaku pergaduhan, wanita selalu
dipersalahkan. Kadangkala, marahnya sudah hilang tetapi ego punya pasal sanggup
mendiamkan diri tidak menelefon kekasih semata-mata ingin dipujuk. Ada
sesetengah lelaki pula, kerana terlalu ego sanggup menunggu wanita mengajak
keluar dahulu daripada mereka sendiri mengajaknya. Tidak salah mempamerkan ego,
tetapi biarlah kena pada tempatnya.
Suka 'cuci mata'
Kebanyakan lelaki sukar untuk
mengawal mata mereka (mata keranjang). Walaupun sudah dikurniakan teman wanita
yang cantik, tetapi masih lagi ingin memandang wanita lain. Pandang sekali
sudahlah. Ini tidak. Kadangkala, sampai terpusing kepala lelaki mata keranjang
ini memandang wanita lain.
Main kayu tiga
Ini adalah perkara yang paling
dibenci oleh setiap wanita. Pantang digoda dengan wanita lain, terus hanyut.
Ada juga lelaki yang pantang melihat perempuan cantik, pasti dijadikan senarai
'teman tapi mesra'. Ada juga yang sanggup keluar dengan wanita lain walaupun
sudah mempunyai kekasih.
Tidak sensitif perasaan
wanita
Lelaki kadangkala suka
bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian kepada kekasihnya,
lebih-lebih lagi apabila melibatkan perasaan wanita. Tetapi jika bersangkut
paut mengenai diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan, mereka begitu memahami
dan mengambil berat.
Sebenarnya, wanita bukanlah
terlalu sensitif atau terlalu manja. Cukuplah sekadar teman lelaki menjaga hati
mereka dahulu sebelum menjaga hati orang lain, lebih-lebih lagi jika wanita itu
bakal menjadi isterinya kelak.
Pentingkan kawan-kawan
Sanggup membatalkan temu janji
semata-mata ingin menonton bola sepak atau diajak melepak oleh kawan-kawan
lelaki. Sesetengah lelaki selalu mementingkan kawan-kawan dalam segala hal.
Kalau ada apa-apa masalah di
tempat kerja atau apa urusan sekalipun, mereka yang mementingkan kawan-kawan
sanggup mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan kekasih. Wanita
akan lebih menyayangi pasangannya jika mereka lebih dihargai.
Tidak tahu menghargai
Sukar untuk bertemu lelaki
yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang
berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Seboleh-bolehnya,
lelaki mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap menghargai mereka. Kalau
setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan, alamatnya mereka akan berpura-pura
tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap menghargai
teman wanita terhadap apa yang cuba dilakukannya untuk anda seperti memberi
hadiah kecil. Setidak-tidaknya, ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba
berbuat sesuatu untuk anda.
Meninggikan suara
Tahulah mereka dikurniakan
suara yang 'macho' tetapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego,
tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara
walaupun pasangannya tidak bersalah.
Penipu
Masalah yang ketara apabila
lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tidak munasabah. Ada lelaki
sanggup mungkir janji dan memberi pelbagai alasan seperti mempunyai masalah
yang tidak dapat dielakkan, padahal sebenarnya mereka enggan mengotakan janji
mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Sifat menipu
dan suka berdolak-dalih ini, lama kelamaan akan membuatkan wanita menjauhi
anda.
P/s: CORETAN DI SINI BUKAN UNTUK MENGATA
SESIAPA TETAPI SEKADAR UNTUK PENGETAHUAN BERSAMA...
JANGAN ADA YANG BERKECIL HATI
YE!!



No comments:
Post a Comment